Sampah sarap (municipal solid waste) dianggap sebagai bahan yang tidak berguna dan tidak mendatangkan sebarang faedah, malah boleh mendatangkan mudarat jika disimpan. Dengan itu, selalunya sisa-sisa tersebut dibuang dan dilonggokkan di tempat-tempat pembuangan sampah sama ada menggunakan teknik pembuangan yang betul atau sebaliknya. Sampah boleh dikategorikan kepada dua, iaitu sampah domestik dan sampah bukan domestik (Ridwan Lubis, 1994). Sampah domestik adalah bahan-bahan buangan yang dibuang dari rumah atau dapur. Contohnya seperti botol, kaca, tin aluminium, beg plastik, kertas, pakaian buruk dan juga sisa makanan. Sampah bukan domestik pula adalah bahan-bahan buangan yang terhasil dari industri, tapak pembinaan, pekedai atau pasar dan pejabat. Bahan-bahan buangan ini terdiri daripada pelbagai jenis termasuklah sisa jualan, sisa pembuangan dan sisa daripada proses pengilangan.
Di Malaysia, terutamanya kawasan penduduk bandar menyumbang sekurang-kurangnya 1.5 kilogram pembuangan sampah setiap hari, berbanding 0.8 kilogram bagi penduduk luar bandar. Angka ini terus meningkat dengan pertambahan penduduk dan tahap kehidupan rakyat yang semakin baik. Pembuangan sampah sesuka hati bukan sahaja akan menjejaskan kesihatan manusia bahkan juga turut mengancam hidupan laut. Oleh itu, semua pihak haruslah berganding bahu mencari jalan penyelesaiannya dengan secepat mungkin sebelum masalah ini menjadi semakin serius.
Rakyat Malaysia sering membuang sampah tidak kira tempat, asalkan ada kesempatan. Natijahnya, kita dapat melihat di mana-mana sahaja ada sampah tidak kira di rumah, pejabat, kedai, tepi dan dalam sungai dan seumpamanya. Ini demikian kerana adanya sikap tidak bertanggungjawab sesetengah masyarakat yang membuang sampah di merata-rata tempat. Keadaan ini bukan sahaja mengotorkan alam sekitar dan jika dibiarkan ia akan menyebabkan keadaan sekeliling berbau busuk dan seterusnya menarik perhatian haiwan perosak seperti tikus dan lalat di mana haiwan ini turut merupakan pembawa penyakit seperti Taun. Tambahan pula, takungan-takungan air seperti di tempat pembuangan sampah telah menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes. Keadaan ini mendorong kepada penyebaran penyakit Deman Denggi yang boleh membawa maut kepada manusia.
Selain itu, masalah pembuangan sampah turut mencemarkan keindahan dasar laut dan seterusnya menjejaskan kehidupan hidupan laut. Menurut laporan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau dikenali sebagai UNEP telah menyatakan bahawa berlakunya kematian di kalangan hidupan laut seperti penyu, ikan, burung, ikan lumba-lumba dan anjing laut adalah disebabkan oleh tertelan barangan plastik. Mereka juga telah menganggarkan bahawa di seluruh dunia sebanyak seratus ribu ekor mamalia laut dan penyu mati setiap tahun disebabkan oleh sampah plastik. Kejadian ini telah mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik.
Antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah pembuangan sampah yang semakin buruk ini ialah meminimumkan penghasilan sampah sarap. Kempen"3R"(Reduce, Reuse and recycle, meminimumkan iaitu Kurangkan, Gunakan Semula, dan Kitar Semula) merupakan pengurusan sampah sarap dari segi sisa. Contohnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah melancarkan ‘hari tiada beg plastik’ pada setiap Isnin, Selasa dan Rabu di seluruh negeri Pulau Pinang bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah jenis plastik malah juga mengurangkan kos pengendalian sampah sarap dan dapat memelihara alam sekitar.
Rentetan itu, pendidikan dan kesedaran dalam bidang sisa sampah dan pengurusan sisa sampah semakin penting dalam menangani masalah pembuangan sampah . Pihak sekolah dan ibu-bapa perlu menyalurkan ilmu moral tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan menanam tabiat menjaga kebersihan alam sekitar sejak mereka berada di peringkat kanak-kanak lagi. Pelbagai kempen perlu dilaksanakan seperti ceramah "Cintailah Sungai Kita", iklan TV dan radio perlu diadakan dari semasa ke semasa agar dapat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia supaya tidak membuang sampah di merata-rata tempat.
Kesimpulannya, masalah pembuangan sampah sarap telah mengancam kehidupan manusia dan haiwan serta menjejaskan kesejahteraan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak harus berganding bahu dalam usaha mengatasi masalah pembuangan sampah sarap. Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dan harus melaksanakannya dengan sempurna dalam menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta kehidupan generasi akan datang. Langkah-langkah seperti meminimumkan sampah-sarap dan pendidikan serta kempen perlu diteruskan. Kerjasama dari pelbagai pihak amatlah dihargai dalam mengatasi masalah ini hingga ke akar umbi dan semoga kita boleh sentiasa hidup dalam persekitaran yang bersih dan sejahtera.
No comments:
Post a Comment